Tuesday, 16 May 2017

ADEM



Dengan Nama Alah Yang Maha pemurah lagi Maha Penyayang
Sesungguhnya syaitan itu tidak ada
Kekuasaannya atas orang-orang
Yang beriman dan bertawakal
Kepada tuhannya.
Sesunguhnya kekuasaannya(syaitan)
Hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin
Dan atas orang-orang yang mempersekutukannya
Dengan ALLAH
(Surah An-Nahl, Ayat 99&100)
*****************************************************************
Kelihatan dari jauh sebuah kereta Honda Civic memasuki perkarangan rumah agam yang telah dibina hampir 80 tahun, namun rumah itu masih kelihatan berdiri megah dan halamannya dihiasi bunga-bungaan yang segar dan indah pemandangannya. Dihadapan rumah agam yang dibina berkonsepkan senibina Jawa itu berdiri seorang wanita muda yang mengenakan sepasang kebaya nyonya bewarna hijau pucuk pisang. Rambutnya disanggul rapi an disisipkan sekuntum bunga mawar yang mekar. Dari jauh dia sudah tersenyum kepada satu keluarga kecil yang baru sahaja keluar dari perut kereta Honda tersebut.
“Selamat datang bapak, ibu, neng. Semuanya telah saya beresin di dalam.” Dia terus menyapa dengan ramah serta memberi senyuman manis. Matanya melirik kearah Mohamad Zakuan iaitu pemilik baru rumah agam tersebut.
Rumah itu sebenarnya milik keluarga Mohamad Zakuan, namun setelah pemergian ibunya 10 tahun yang lepas, Zakuan tidak lagi menjengah rumah tersebut melainkan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Suraya, pembantu rumah tersebut untuk menjaganya sehingga dia terbuka hati untuk pulang tinggal di situ. Rumah itu jauh dari orang, terletak di hujung kampung dan sangat tersorok malah ianya merupakan rumah yang paling besar dalam kampung tersebut.
Rumah tersebut di bina oleh moyang Mohamad Zakuan sebelum merdeka lagi. Keluarganya merupakan keluarga bangsawan dari tanah seberang yang berhijrah ke Tanah melayu sewaktu perang dahulu kira-kira 80 tahun yang lepas. Oleh sebab itu seni bina rumah itu tampak ketara seakan senibina Jawa dan Melayu.    
**************************************************************
Zakuan, Isteri dan anak perempuannya terus melangkah masuk ke dalam rumah, sementara Suaraya dan Pak Akob, tukang kebun rumah tersebut, sibuk mengangkat beg-beg milik keluarga tersebut.
‘Maya………..’ satu bisikan halus menerjah gegendang telinga Maya, satu-satunya anak perempuan Zakuan dan Sophea sebaik sahaja dia melangkahkan kaki ke dalam rumah tersebut. Maya tersentak dan tiba-tiba satu angina lintang menerjah menampar wajahnya. Dia terus terhenti di muka pintu.
“Mama, papa.. I feel something different.” Maya terus bersuara memberitahu ibu dan ayahnya mengenai hal berkenaan.
“Maya, what is different sayang? Dah 7 kali kita pindah rumah, cukuplah mama dah penat.” Sophea bersuara lemah, dia seakan lelah melayan karenah anaknya itu.
Maya di sahkan menghidap paranoid disorder. Dia sentiasa merasa terancam dan mendakwa dapat melihat roh-roh jahat serta dapat mendengar suara-suara aneh. Sejak dari itu, mereka telah berpindah sebanyak 7 kali dan rumah agam ini adalah pilihan terakhir ayahnya kerana dia sudah buntu untuk melayani karenah anaknya itu.
Zakuan diam dan terus melangkah masuk meninjau keadaan dalam rumah tersebut. Biarpun telah ditinggalkan hampir 10 tahun, namun semuanya masih dalam keadaan rapi.  Susun atur perabot tersebut masih terletak ditempat asalnya. Satu kelebihan rumah itu, ianya tidak pernah merasa panas seperti rumah-rumah yang lain biarpun pada musim panas. Sejak dari dahulu lagi rumah itu tidak pernah tersedia kipas kerana suasananya cukup dingin.
“Maya ini bilik kamu.” Zakuan terus membuka pintu sebuah bilik yang terletak ditengah antara ruang tamu dan dapur. Bilik itu dahulunya milik nenek Zakuan, namun setelah dia meninggal dunia tiada siapa pun yang menggunakannya lagi. Hanya sesekali sahaja digunakan ketika sanak saudara datang berkunjung ketika kenduri kendara. Zakuan merupakan anak tunggal dalam keluarganya, jadi tidak ada saudara terdekat yang selalu pulang melaikan ketika majlis yang besar atau hari raya.
Maya melangkah masuk ke dalam bilik yang diberikan oleh ayahnya itu. Tiba-tiba jendela yang menghadap pintu bilik itu terbuka dirempuh angina kuat. Maya, Zakuan dan Sophea terus tersentak dengan kejadian tersebut. Dada maya berombak, dia berdebar. Dia sudah dapat merasakan yang ada sesuatu yang tidak kena terhadap rumah tersebut.
“Bapak, ibu diluar pada mahu hujan, sebaiknya mobilnya di parking ke dalam aja, jangan dibiar dihalaman.” Tiba-tiba Suaraya masuk dan memberitahu hari sudah mahu hujan. Zakuan hanya mengangguk dan terus melangkah keluar rumah untuk mengubah keretanya kebawah genting yang telah disediakan untuk meletakkan kereta.
Setelah dia keluar dari kereta dia ternampak seorang nenek tua sedang merenung tajam kearahnya dari luar pagar. Zakuan terus menghampiri nenek tersebut.
“Mak Embun…” sapa Zakuan. Mak Embun dahulu merupakan penjaga Zakuan ketika dia masih kecil. Malah Mak Embun juga merupakan peneman ibunya ketika bapanya berada di luar kota.
“Zakuan, dia belum bertemu pewarisnya nak, kamu dalam bahaya.” Tutur Mak Embun dalam keadaan yang sayu memandang Zakuan. Dahi Zakuan berkerut seakan tidak mengerti apa yang cuba disampaikan oleh Mak Embun. Tiba-tiba Maya datang menghampiri Zakuan dan memandang Mak Embun dengan wajah kehairanan.
“Sapa ni papa?” soal Maya inginkan kepastian.
“Ini Mak Embun, ibu angkat papa, dia yang jaga papa waktu papa kecil.” Zakuan menjelaskannya kepada Maya. Maya tersenyum lalu menghulurkan tangan menyalami Mak Embun. Mak Embun menyambut huluran salam itu, namun ianya terkejut di saat dia menyalami Maya. Mata Mak Embun memandang tepat ke wajah Maya. Maya tersenyum sinis memandang Mak Embun dan terus melepaskan salamannya dari tangan Mak Embun. Tanpa sepatah bicara Maya terus berlalu pergi.
Mak Embun seakan terpana, hatinya mulai tidak senang. “Itu anak Wan, Mak. Satu-satunya anak yang Wan ada. Mak marilah masuk dulu. Nak hujan ni, lagipun dah nak malam boleh kita makan malam bersama. Dah lama kita tak makan bersama boleh sembang banyak lagi. Nanti lepas Isyak Wan hantar mak balik.”
Mak Embun memandang Zakuan dengan pandangan yang sayu. Riak wajahnya seakan simpati terhadap nasib Zakuan selepas ini. Namun dia sendiri tidak berdaya hendak menolong. Namun apa yang pasti, ada satu rahsia yang Zakuan perlu tahu. Namun bibirnya seakan terkunci untuk menceritakannya.
“Tak apalah Wan. Mak balik dulu, nanti senang-senang Wan datang rumah mak ya. Banyak cerita mak nak cerita, dah sepuluh tahun kamu tak balik.” Kata Mak Embun sambil tersenyum kepada Zakuan. Zakuan hanya mengangguk.
Sebelum pergi Mak Embun sempat memandang kearah jendela yang berhadapan dengan jalan, kelihatan Maya sedang merenung tajam ke arah  Mak Embun sambil tersenyum sinis. Satu senyuman yang tak dapat ditafsirkan ertinya. Lain auranya, sangat berbeza.
Astagfirullah Al Azim..’ detik hati Mak Embun. Dia terus melangkah pergi tanpa menoleh lagi.
*****************************************************************
Azan maghrib berkumandang, terdengar sayup-sayup dihujung kampung. Zakuan dan isterinya Sophea bersiap-siap untuk menunaikan solat berjemaah sekaligus membaca surah Yassin kerana itu merupakan hari pertama mereka masuk kedalam rumah tersebut. Maya masih leka dengan musiknya sambil bermain telifon pintarnya di ruang tamu rumah.
“Maya, sudahlah dengar lagu tu. Dah maghrib pun. Jom solat Jemaah sekali. Lepas ni boleh baca Yassin sama-sama.” Tegur ibunya Sophea. Sophea hanya menjeling tajam kearah Sophea sehingga Sophea tersentak. Relingan yang aneh. Namun dia cuba untuk mengawal diri.
“Cepat Maya! Mama dengan papa tunggu kamu.” Sophea meninggikan sedikit suaranya.
“Aku tak nak!!” Tengking Maya kepada ibunya. Sophea terkejut dengan tindakan Maya. Belum pernah sekalipun anak itu membantah cakapnya apatah lagi meninggikan suara. Dia sudah merasakan sesuatu yang aneh terhadap Maya sejak petang tadi lagi. Namun dia masih berdiam diri. Bukan itu sahaja dia juga menemukan tempat bara dan kemenyan yang berasap di bilik Suraya. Melihatkan keadaan itu Sophea mengesyaki bahawa Suraya mengamalkan ilmu hitam dan mungkin sahaja Maya adalah mangsa pertamanya. Namun dia tidak mahu menuduh melulu. Dia perlu cari kebenarannya dahulu.
Namun tangapannya semakin kukuh apabila sewaktu dia mengambil wudhuk dia telah terlihat Suraya membawa seekor ayam kampung yang telah disembelih kearah belakang rumah  dan diletakkan di dalam sebuah perigi sambil mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu.
“Sophea, jom kita Jemaah. Panggil Maya sekali.” Sophea terus tersentak apabila Zakuan menyapanya dari belakang.
“Awak ni kenapa? Nampak pucat je.” Soal Zakuan apabila melihat wajah Sophea yang kelihatan seakan ketakutan.
“Abang, saya ada benda nak beritahu abang.” Sophea ingin menyatakan apa yang dirasakannya, namun dari nada suaranya jelas dia seakan gugup.
“Lepas solat kita bincang ya. Jom lah solat nanti habis waktu.” Zakuan terus mengajak Sophea solat sebelum mereka membincangkan tentang apa yang Sophea rasakan.
*****************************************************************
Di dalam bilik Maya seakan kegelisahan. Duduk, berdiri dan baringnya tidak tentu arah. Dia merasakan tidak tenteram. Badannya terasa panas dan membahang seakan disiat-siat. Dia berpusing satu bilik dan membuka tingkap. Angin kuat di luar menerjah masuk ke dalam bilik namun belum cukup untuk menenteramkan hatinya. Dia semakin kegelisahan tatkala mendengar alunan bacaan Yassin oleh ayahnya dari ruang tamu yang berhampiran dengan biliknya. Semakin lama Alunan bacaan Yassin itu semakin kuat dan saat itulah Maya semakin kegelisahan. Dia mula menjerit, lama kelamaan jeritannya semakin kuat hingga menyentakkan ibu dan ayahnya yang sedang membaca Surah Yassin di luar.
“ARGGHHHHHHHHHHHHHH!!!!!!!” Maya bertempik kuat sebelum dirinya jatuh terjelepuk ke atas lantai. Ibu dan ayahnya yang mendengar tempikan it uterus bingkas bangun dan meluru ke arah bilik Maya untuk mendapatinya.
“Maya!! Maya!! Kenapa ni nak?” Sophea terus mencepung Maya ke atas ribanya dan memangku anaknya yang sudah pun longlai dan basah dengan peluh. Dia menangis teresak-esak melihatkan keadaan Maya.
Tidak lama kemudian Suraya datang dengan tangannya dipenuhi darah merah dan wajahnya seakan sedang menangis.
“Suaraya! Apa kamu dah buat? Kamu amalkan ilmu hitam? Ingat aku bodoh? Aku tak Nampak apa yang kamu buat? Aku Nampak kemenyan berasap dalam bilik kamu, aku Nampak kau sembelih ayam dan bagi Syaitan kau tu makan kan? Aku Nampak semua. Kau nak jadikan anak aku mangsa Syaitan kau ke?” Sophea terus bertempik. Wajahnya mulai membengis.
“Sophea! Apa kamu cakap ni? Abang tak faham.” Zakuan tampak serabut dengan apa yang sedang berlaku. Dia tidak faham mengenai tuduhan terhadap Suraya.”
“Suaraya amalkan ilmu hitam abang, Sophea Nampak tadi..” Sophea terus sahaja menangis teresak-esak sambil memeluk anaknya, Maya. Sementara itu Suraya tertunduk sambil menangis.
“Suraya! Kenapa kau menangis? Apa betul apa yang Sophea katakan?” Soal Zakuan inginkan kepastian. Dia merenung tajam kearah Suraya supaya Suraya menceritakan segalanya.
“Iya, tapi bukan punya aku pak, ianya punya Ibu bapak.” Teresak-esak Suraya menjawabnya. Zakuan terkejut. Masakan ibunya yang kelihatan warak dan tidak pernah meninggalkan solat itu menyukutukan Allah. Ianya tidak mungkin. Sama sekali  tidak benar.
“Kamu bohong!” Zakuan meninggikan suara kepada Suraya. Dia tidak percaya apa yang diperkatakan oleh Suraya.
“Benar pak aku tidak berbohong. Benda ini milik ibu bapak, aku Cuma penjaga sementaranya aja sebelum dia ketemu sama pewarisnya yang baru.” Jelas Suraya terus menangis.
“Siapa pewarisnya.” Soal Zakuan lagi dalam ton suara yang tinggi.
“Maya pak. Benda ini diambil untuk menjaga keamanan rumah dan kesejahteraan keluarga bapak. Saat ibu mahu meninggal dia udah mengamanahkan aku supaya menjaga belaannya hingga satu-satu warisnya ini menjangkau umur 18 tahun. Selepas warisnya berusia 18 tahun dengan sendirinya ia akan berpindah tuan. Tapi aku enggak tega pak melihat Maya yang tidak berdoasa ini memikul bebannya. Terlalu banyak pantang larang dan upacara yang harus dijalankan jadi aku mahu biar belaan ini terus bersama aku, aku rela demi keluarga bapak. Tapi belaan ini tidak mahu pak. Dia tetap mahukan Maya, kerana Maya waris asli tunggalnya. Aku binggung pak. Aku sendiri kagak bisa nolongi bapak lagi. Selama ini belaan ini udah lama numpang dan ngekorin Maya sejak usianya mulai menganjak 18 tahun. Sedari 1 tahun lepas pak.”
Terlopong mulut Zakuan mendengarnya. ‘Apakah ini maksud Mak Embun petang tadi? Ianya belum berwaris?’ Zakuan bermonolog di dalam hati.
“Lekas pak bawa Maya ke rumah Mak Embun sebelum terlambat. Dia udah mula menyerap masuk dan bersatu dalam tubuh Maya.” Mendengar kata-kata daripada Suraya itu Zakuan bingkas bangun dan mencepung Maya untuk dibawa keluar dari rumah itu. Sophea terus menangis. Dia takut dengan apa yang sedang menimpa keluarganya.
Baru sahaja Zakuan mahu melangkah keluar rumah pintu dan tingkap tertutup dengan sendirinya dan satu angin kencang berpusar di dalam rumah tersebut. Keadaan menjadi semakin kacau bilau. Sophea cuba sedaya upaya untuk membuka pintu sementara Zakuan mengendong Maya untuk di bawa keluar dari rumah tersebut.
Suraya semakin cemas, dia dapat merasakan bahawa makhluk itu mula menguasai tubuh Maya dan akan bersatu dalam tubuh Maya. Jika dia lambat Maya akan menjadi milik makhluk itu. Suraya terus kebiliknya dan terus memperasapkan kemenyan sambil menyeru makhluk berkenaan dengan mantera khas untuk menyerunya.
***************************************************************
Diruang tamu, tiga beranak itu masih terperangkap, dan angin masih berpusar laju. Mereka kelihatan cemas dan buntu. Tidak ada jalan keluar bagi mereka. Lidah mereka juga menjadi kelu untuk menyebut kalimah-kalimah Allah. Sophea terus menangis dalam hatinya meminta pertolongan dari Allah. Sementara Maya masih terkulai layu dipangkuan Zakuan. Zakaun sedaya upaya menolak pintu berkenaan dengan kuat namun kudratnya tidak terdaya melawan kuasa syaitan yang dilaknat itu.
“Zakuan! Berundur! Mak Embun datang dengan Ustaz, biar dia tolong kamu.” Akhirnya dengan kuasa Allah Mak Embun datang memberikan pertolongan. Pintu direjah oleh Ustaz Halim dan beberapa orang pembantunya. Mak Embun terus masuk dan mendapatkan mereka yang sedang ketakutan. Maya dibaringkan ditengah ruang, sementara Ustaz Halim mula membaca ayat-ayat suci Al-quran. Semakin kuat ayat-ayat suci dialunkan semakin kencang angin yang berpusar.
“Wahai syaitan yang dilaknat Allah! Aku perintahkan kau pergi tinggalkan rumah ini, serta jasad anak muda ini, janganlah kau kembali lagi, tugas mu menjaga mereka sudah selesai. Pergi kau dari sini dan jangan sesekali engkau pulang hinggalah hari kiamat. Dengan kalimah La illah Ha illallah  aku usir kau dari sini, ALLAHUAKBAR!!!”
Akhirnya angin yang berpusar tadi mulai berhenti dan kedengaran suara jeritan Suraya dari dalam biliknya. Pembantu-pembantu Ustaz Halim pergi mendapati Suraya yang sudah terbaring kaku. Suraya menjadi mangsa makhluk itu. Makhluk itu telah membunuhnya kerana dia ingkar dan melanggar perjanjiannya demi menjaga keluarga Zakuan dan demi keselamatan Maya. Sophea terus menangis apabila mereka membawa keluar mayat Suraya. Dia merasa bersalah kerana menuduh Suraya namun sebaliknya Suraya telah menjadi korban demi keluarganya.
“Apa yang dilakukan Suaraya terhadap kamu memang besar jasanya, tetapi dia tetap kufur kerana memegang janji dengan Syaitan. Seharusnya dia buang benda ni dari dulu lagi. Mak dah nasihatkan dia, tapi dia tidak pernah peduli. Mak sendiri tak pasti kenapa Suraya mahu menjaganya.” Jelas Mak Embun kepada Zakuan dan keluarganya.
“Kenapa ibu ambil benda ni mak? Ibu orang yang baik. Ibu juga dikenali orang yang warak.” Soal Zakuan iginkan jawapan. Mak Embun menghela nafas panjang. Sebelum menjawab pertanyaan Zakuan.
“Apabila nafsu dan ketaksuban seseorang melebihi keprcayaannya terhadap Allah, maka inilah yang terjadi. Dia ambil supaya benda ini menjaga seluruh keturunannya dan lagi dia takut ayah kamu curang ketika di luar kota. Itulah sebabnya.” Jelas Mak Embun Lagi.
“Sucikan kekotoran dalam rumah ini, buang kehitamannya yang ada, salah satu ciri sesebuah tempat tidak kiralah bilik atau rumah itu dihuni sesuatu yang lain adalah tempat itu sentiasa berasa dingin kerana ianya telah diselimuti oleh makhluk ini agar kamu merasa tenang ketika berada di dalamnya. Supaya mudah ia menguasai kamu.” Jelas Ustaza Halim kepada Zakuan.
Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Penyayang
Katakanlah Dia lah Allah Yang Maha Esa
Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu
Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan
Dan tidak ada seorang pun yang setara denganNya
(surah Al-Ikhlas, Ayat 1-4)
                                                                           TAMAT                                                                                 

No comments:

Post a Comment